Memahami Metodologi dan Kandungan Matan Akidah Umm al-Barahin
Matan Umm al-Barahin karangan Imam al-Sanusi (m. 895 H) merupakan salah satu teks asas yang meletakkan dasar-dasar ilmu akidah bagi para penuntut ilmu.
Imam al-Sanusi sengaja menyusunnya dengan gaya yang ringkas agar mudah dipelajari, namun tidak sehingga mencacatkan maksudnya. Walaupun ringkas, kandungannya sudah mencukupi bagi sesiapa yang ingin membina pegangan akidah yang kukuh.
Nama Kitab Ini
Berkenaan nama bagi kitab akidah ini, Imam al-Sanusi telah menamakannya sebagai al-'Aqidah al-Sughra (Akidah Kecil).
Kadang-kadang namanya diringkaskan dan disebut: al-Sughra, atau disebut dengan dinisbahkan kepada pengarangnya, lalu dikatakan: Sughra al-Sanusi, dan al-Sanusiyyah al-Sughra, atau Akidah al-Sanusi, atau al-'Aqidah al-Sanusiyyah.
Apabila disebut: al-Sanusiyyah, maka kitab inilah yang dimaksudkan. Sebagaimana ia dikenali di masa hampir dengan zaman pengarang sebagai Zat al-Barahin (Yang Mempunyai Hujah-Hujah), dan selepas itu tersebarlah penamaannya sebagai Umm al-Barahin (Ibu Segala Hujah).
Asas Logik: Kepentingan Akal dalam Akidah Islam
Berbeza dengan akidah-akidah sesat, Akidah Islamiah
meletakkan akal manusia sebagai salah satu rukun asasi dalam binaannya. Ia
selari dengan seruan nas-nas Syarak yang menggesa para mukalaf untuk berfikir,
bertadabbur, dan menerima kesaksian akal yang sejahtera.
Selaras dengan prinsip ini, tidak hairanlah kitab Umm al-Barahin dimulakan dengan perbahasan yang menjadi kunci kepada keseluruhan ilmu ini, iaitu tiga hukum akal:
1 - Wajib (Mesti ada).
2 - Mustahil (Tidak mungkin ada).
3 - Harus (Mungkin ada atau tiada).
Penjelasan mengenai tiga hukum ini menjadi landasan untuk
memahami sifat-sifat Tuhan dan para Rasul yang akan dibahaskan seterusnya.
Struktur Kandungan: Ilahiyyat, Nubuwwat, dan Syahadah
Imam al-Sanusi membina akidahnya di atas manhaj Ahli Sunnah
wal Jamaah, yang merangkumi pandangan majoriti Asya'irah dan Maturidiyyah.
Strukturnya terbahagi kepada tiga bahagian utama:
1. Bahagian Ketuhanan (Ilahiyyat)
Setelah meletakkan asas hukum akal, kitab ini membentangkan sifat-sifat Allah SWT, maknanya, serta dalil-dalil ringkas daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Imam al-Sanusi tidak terhad kepada satu pandangan sahaja,
sebaliknya beliau menyebutkan sifat-sifat yang disepakati oleh Ahli Sunnah yang terbahagi kepada empat kategori:
Kitab ini juga menyentuh tentang sifat-sifat kekurangan yang mustahil bagi
Allah (lawan kepada sifat-sifat wajib), serta membincangkan perbezaan antara
perbuatan Allah sebagai Pencipta dan perbuatan hamba sebagai pengusaha (kasb).
2. Bahagian Kenabian (Nubuwwat)
Seterusnya, perbahasan beralih kepada para Rasul. Di sini,
dijelaskan sifat-sifat yang Wajib, Mustahil, dan Harus bagi
mereka, selaras dengan kerangka hukum akal yang telah dibentangkan di awal
perbincangan.
3. Kemuncak Perbahasan: Rahsia Dua Kalimah Syahadah
Puncak perbahasan kitab ini ialah penjelasan mengenai dua
kalimah syahadah: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah,
dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”
Di sinilah letaknya keistimewaan besar karya Imam al-Sanusi.
Beliau menghuraikan bagaimana semua perkara akidah yang telah
dibahaskan sebelumnya - daripada sifat-sifat Allah hingga ke sifat-sifat para
Rasul - terangkum secara padat di dalam lafaz syahadah. Menurut Imam al-Sanusi
sendiri, metodologi penghuraian ini merupakan sesuatu yang belum pernah
didahului oleh ulama terdahulu mahupun terkemudian.
Dengan gabungan kandungan yang ringkas, susunan yang logik, dan makna yang mendalam, Umm al-Barahin kekal menjadi teks yang unggul dalam membimbing umat Islam memahami dan menghayati asas-asas keimanan mereka.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan